Adeeb & Palestin
Karya sempena Konsert Love Palestine Night, Kaherah. 9 November 2012.
Kelibat beberapa pesawat tentera Israel berlegar-legar di atas awan. Dengan kelajuan tinggi, pesawat IAF yang melintasi udara membuatkan mata terpejam dek kepulan debu berterbangan. Tiba-tiba kedengaran riuh rendah dan dentuman yang kuat.
Di sebuah rumah, seorang budak lelaki berlari mendapatkan ibunya yang sedang menyediakan makan malam buat keluarga.
Terketar-ketar, dia mengadu, “Ibu, ibu, saya takut. Tadi saya terdengar bunyi bom!”
Si ibu terus memeluk sambil mengusap belakang kepala anaknya. “Kamu jangan takut, sesungguhnya Allah sentiasa bersama kita.”
Budak lelaki itu kembali tenang dan menyambung bermain di luar rumah.
Begitulah keadaan di Palestin sehari-hari. Budak lelaki itu dan kawan-kawannya tidak lagi aman berlari-larian ke sana sini. Pemandangan langit mereka tidak seperti di Malaysia. Di sini, kita masih dapat melihat burung berterbangan dan bersahutan menyanyikan lagu-lagu indah. Di sana mereka diserang, ditindas dan digertak oleh kehadiran pesawat-pesawat yang lagaknya canggih, namun terlupa yang lebih berkuasa adalah Sang Pencipta Rabbul Alamin.
***
Di Malaysia….
Adeeb bertanya separuh menjerit, “Ibu, boleh belikan saya tabung?”
Puan Azzah mengerutkan kening sambil memandang wajah anaknya. “Kamu hendak buat apa dengan tabung itu? Bukankah ibu sudah belikan sebuah tabung sewaktu kamu baru memasuki darjah satu tahun lalu?”
Adeeb melebarkan bibir dengan manis, “Saya mahu menabung, buat sesuatu yang istimewa!”
Puan Azzah ternganga lalu menggeleng-geleng perlahan. Dia berdesis, ‘Sudah besar rupanya anak ibu.’
***
Puan Azzah memanggil anaknya, “Adeeb, ke mari sayang. Ibu ada sesuatu untuk kamu.”
Adeeb berlari-lari anak sambil tersenyum lebar kepada ibunya, “Ya, ibu. Ibu belikan apa untuk saya?”
Puan Azzah mengeluarkan sebuah kotak yang dibalut rapi dengan reben berwarna merah. Sambil menghulurkan kepada anaknya, dia berkata, “Ini hadiah daripada ibu. Ibu harap kamu menggunakannya dengan baik ya, sayang?”
Adeeb tersenyum lebar lalu memeluk Puan Azzah. Dia berkata girang, “Terima kasih ibu! Saya sayang ibu!”
***
Adeeb melangkah setapak demi setapak menuju ke perhentian bas sekolah. Sewaktu melintas jalan, langkahnya terhenti. Dia berkata, “Cikgu kata, sampah perlu dibuang ke dalam tong sampah,” lalu dia tunduk dan mengutip plastik minuman di atas jalan itu.
Tiba-tiba, sebuah kereta meluncur laju dari arah belakang dan terus melanggar tubuh kecil Adeeb! Dia terpelanting ke tepi jalan lalu terbaring lemah. Kepala dan mulutnya berlumuran darah!
“Adeeb… Adeeb…,” suara-suara kecil bersahutan dari arah tepi dan tengah jalan. Rakan-rakannya memanggil tanpa henti. Namun, Adeeb terus terbaring dan sesekali, tubuhnya menggelepar bagai ayam yang baru disembelih.
Mujur, seorang pemuda menghentikan kereta dan bergegas memberi bantuan kecemasan selepas menghubungi ambulans. Bererapa minit kemudian, Adeeb dibawa ke hospital berdekatan.
Bahu Puan Azzah terhinggut-hinggut melihat keadaan Adeeb di unit kecemasan. Air matanya berlinangan melihat cairan darah merah pekat tidak berhenti-henti mengalir dari luka di kepala Adeeb. Tubuh kecil itu dipeluk erat-erat.
Pintanya lirih, “Adeeb, Adeeb… bangun, sayang. Jangan tinggalkan ibu, sayang….”
Suaranya kian meninggi apabila tubuh Adeeb kaku tanpa pergerakan. Beberapa pasang mata memandangnya sayu.
Tiba-tiba Adeeb menggerakkan jemari sambil meracau-racau, “Ibu, ibu… saya sakit…. Tolong saya, ibu. Saya mahu hidup, kerana saya belum sempat menolong adik-adik saya di Palestin. Ibu….”
Puan Azzah menguatkan pelukan. Air matanya terus berjuraian sambil mulutnya tidak putus-putus mengirim kata semangat, “Adeeb, sabar ya. Ibu sayang Adeeb.”
Tidak lama kemudian, bacaan ECG yang merekodkan kadar denyutan jantung Adeeb berhenti dan menunjukkan garis malar. Spontan, mata-mata yang memandang sejak tadi terus tertunduk. Puan Azzah terdiam dengan deraian air mata yang kian deras.
Puan Azzah menatap wajah anaknya. Dia tersentak, “Subhanallah, anakku tersenyum!”
***
Jenazah Muhammad Adeeb dikebumikan di tanah perkuburan Islam berdekatan dengan rumah mereka. Puan Azzah melutut di sisi kubur yang baru dikambus itu.
Sambil memegang nisan, dia berkata, “Pergilah, sayang. Ibu reda kerana Allah.” Air mata yang menitis ke pipi, dikesat perlahan.
***
Malam itu, Puan Azzah menyendiri di kamar Adeeb. Dia membelek-belek buku yang teratur kemas di rak. Tanpa sengaja, dia menemui sepucuk surat terselit di celahan buku. Dia membaca isi surat itu….
Buat ibu dan adik-adik yang disayangi,
Saya minta maaf terlebih dahulu buat ibu sekiranya saya tidak berkesempatan mencium tangan ibu untuk kali terakhir. Buat adik-adik, saya mohon maaf kerana tidak sempat membahagikan semua barang yang sudah saya kumpulkan untuk adik-adik di sana. Saya sayangkan ibu. Ibu menjadi inspirasi diri saya. Adik-adik pula menjadi sumber kekuatan saya di sini. Tanpa kalian, saya tidak akan kuat sebagaimana sekarang. Ibu, saya mohon maaf kerana meminta ibu belikan tabung baru. Ibu, saya mohon supaya ibu menyampaikan isi tabung dan kotak di tepi katil saya kepada adik-adik saya yang berada jauh di Palestin.
Akhir sekali,semoga kita semua dapat bertemu di Syurga Firdaus dengan izin-Nya. Lagu ini adalah hadiah daripada saya untuk ibu dan adik-adik saya di Palestin. Saya sayang semua, kerana Allah.
Ya Tuhanku….
Wahai Tuhanku,
Sesungguhnya aku hanya pengembara
Demi agama-Mu aku akan terus mengembara
Al-Quds menjerit-jerit memanggilku
Hancur hatiku mendengarnya
Panggilan Aqsa membuatku menangis
Meluluhkan jiwa ragaku, kesedihanku
Kerana jiwa dan hati umat ini telah mati dan tidak dapat dihidupkan
Maka ia tidak dapat merasa
Mereka kata aku ini penjenayah
Kerana aku menolak penghinaan besar ini
Kerana aku menolak untuk terus berdiam diri
Maka katakanlah apa yang engkau hendak kata!
Pada-Mu, ya Allah, aku harapkan keredaan
Hanya Engkau yang Maha Mengetahui
Sesungguhnya aku sanggup menggadai nyawaku untuk-Mu
Wahai orang yang telah syahid
Dengan darahmu maka hiduplah pohon-pohon
‘Izzah (kemegahan) dan Intisar (kemenangan)
Jika mereka mencuri al- Aqsa daripada sejarah kami
Mereka tidak dapat mencuri al-Aqsa daripada hati kami.
Wahai syuhada’
Wahai syuhada’
Wahai syuhada’
(Mereka yang menjual nyawa mereka demi Allah.)
Yang benar,
Muhammad Adeeb
Muhammad Adeeb
Puan Azzah mendekati kotak di tepi katil Adeeb. Label ‘Buat Adik-adik Adeeb di Palestin’ dibelek-belek sebelum kotak itu dibuka. Permainan dan pakaian anaknya tersusun kemas di dalam kotak itu. Air matanya tumpah lagi. “Allahu Akbar… anakku baru lapan tahun!”